Malaikat memberontak..???
Bagi orang Islam, perkara tersebut adalah mustahil. Namun pada sisi agama lain hal ini dicatatkan dalam kitab mereka. Contohnya bagi orang Kristian dalam Bible. (Rujukan Bible terjemahan Indonesia).
"Wah, engkau sudah jatuh dari langit, hai Bintang Timur, putera Fajar... Engkau yang tadinya berkata dalam hatimu: Aku hendak naik ke langit, aku hendak mendirikan takhtaku mengatasi bintang-bintang Allah... Aku hendak naik mengatasi ketinggian awan-awan, hendak menyamai Yang Maha Tinggi."
Kitab Isaiah 14:12
"Dan ekornya menyeret sepertiga dari bintang-bintang di langit lalu melemparkannya ke atas bumi." - Kitab Revelation 12:4
Ayat-ayat di atas menceritakan satu pertiga daripada keseluruhan malaikat telah menderhaka dan melancarkan pemberontakan yang diketuai oleh Lucifer (Iblis) terhadap tuhan. Bagi mengelak keadaan buruk berlarutan, berlaku peperangan hebat di langit antara malaikat yang masih taat dengan malaikat yang derhaka.
"Maka timbullah peperangan di sorga. Mikhael dan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu, dan naga itu dibantu oleh malaikat-malaikatnya, tetapi mereka tidak dapat bertahan; mereka tidak mendapat tempat lagi di sorga. Dan naga besar itu, si ular tua, yang disebut Iblis atau Satan, yang menyesatkan seluruh dunia, dilemparkan ke bawah; ia dilemparkan ke bumi, bersama-sama dengan malaikat-malaikatnya." - Kitab Revelation 12:7-9
Tentera Mikail melawan tentera Iblis dan mencapai kemenangan, akibatnya Iblis dan pengikutnya dilempar ke dunia.
Perspektif Islam
Islam menolak sekeras-kerasnya doktrin penderhakaan malaikat.
"Mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." - Al-Quran, surah al-Tahrim ayat 6)
Berdasarkan firman Allah 'Azza wa Jalla, semua malaikat yang dicipta-Nya tidak pernah dan tidak akan pernah menderhaka kepada-Nya, apatah lagi melancarkan pemberontakan dan berperang sesama sendiri.
Yang pernah menderhaka kepada Allah hanyalah Iblis dan para syaitan. Adapun Iblis, bukanlah malaikat. Bukankah malaikat itu dicipta daripada nur, sedangkan Iblis mendabik dada dengan kejadiannya daripada api? Maka bagaimanakah kita hendak mengatakan bahawa Iblis itu sebahagian daripada malaikat?
Ya, suatu masa dahulu Iblis pernah diangkat tinggi di sisi malaikat, namun tidaklah bermakna Iblis itu juga malaikat. Iblis adalah daripada golongan jin yang kejadiannya berbeza langsung dengan malaikat. Allah menjadikan malaikat dengan sifat taat, manakala Iblis ditambahi sifat takbur dan dengki, sesuai sekali dengan asal kejadiannya yakni api. Maka tidak hairanlah Iblis menderhaka perintah Allah supaya sujud kepada Adam a.s.
"Dan ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam. Lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia enggan dan takbur, dan dia termasuk golongan yang kafir." - Al-Quran, surah al-Baqarah ayat 34
Perlukah kita ambil tahu semua ini?
YA! Sebagai salah satu strategi untuk berhadapan dengan pihak tertentu jika berhadapan dengan topik sebegini selain menjadi medium dakwah. Wallahu a'lam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar